KUALA LUMPUR 30 April - Seramai 30 peserta dipilih menyertai program
Peguam Perintis Muda yang menawarkan pembiayaan RM200,000 seorang bagi
menubuhkan firma guaman sendiri.
Program itu, yang dianjurkan hasil kerjasama Pertubuhan Sukarelawan
Peguam Malaysia (SukaGuam), Biro Profesional Muda Umno, Al Rajhi Bank
dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), dilancarkan Menteri Belia
dan Sukan Khairy Jamaluddin di sini, hari ini.
Turut hadir, pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat,
Pengerusi Biro Profesional Muda UMNO Shahril Hamdan dan Ketua Pegawai
Eksekutif Al Rajhi Bank Datuk Azrulnizam Abd. Aziz.
Dalam ucapannya, Khairy berkata, program berkenaan merupakan titik
permulaan bagi memperkasa bidang profesional golongan muda yang bersikap
mesra rakyat.
Ia juga untuk memupuk kerjasama antara penganjur dan perantis bagi
melahirkan peguam muda yang bersedia dari segi mental dan fizikal untuk
berdepan cabaran dunia perundangan.
``Ia (program) juga sebahagian daripada usaha mendekatkan peguam
muda dengan masyarakat awam dan membentuk deria kemasyarakatan yang
lebih tinggi.
``Ini kerana rata-rata masyarakat mempunyai tanggapan bahawa
golongan profesional ini sukar didekati dan juga terdapat jurang
perbezaan taraf dan gaya hidup,'' katanya.
Menerusi program itu, para peserta akan diberi latihan selama tiga
bulan bersama tokoh-tokoh perundangan, korporat, perbankan, pemasaran,
jenama dan keusahawanan sosial sebelum membuka firma guaman
masing-masing.
Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, program
seumpama itu akan diperluas ke bidang lain menerusi inisiatif mentor dan
mentee, bimbingan kerjaya serta peningkatan kualiti supaya lebih ramai
golongan profesional muda maju dalam kerjaya masing-masing.
Menurutnya, program itu antara usaha Pemuda UMNO untuk mendekati
golongan profesional muda kerana mereka adalah penggerak utama sektor
ekonomi yang merupakan tunjang utama negara.
Pada pelancaran itu, Khairy turut menyaksikan majlis menandatangani
Memorandum Persefahaman (MoU) antara SukaGuam, Biro Profesional Muda
Umno dan Al Rajhi Bank. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment